F A K E S M I L E

JOURNAL MYSELF MYSTUFFS +FOLLOW
Based on the TRUE STORY
"Eh, mana van jual rojak tu?" Ewaa menjuntai kepalanya. Nick masih sibuk memandu menghala ke arah tebing Laut Stulang. Nick cepat-cepat meletakkan kereta disitu dan mereka berdua keluar mencari van rojak yang sudah menjadi kegemaran mereka. Nick hampa. Ewaa pula kecewa. Hanya terdapat van yang menjual 'burger' dan 'steamboat'. Suasana petang itu tidak seriuh seperti biasa. Jalan raya semakin sibuk dengan kereta-kereta yang bertapak di hadapan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Foon Yew untuk menjemput anak-anak mereka.
Cuaca cerah tersebut menjadikan Ewaa begitu gembira kerana sudah lama dia teringin untuk menenangkan fikirannya di tepi laut yang menghadap ke Singapura. Dia sering ke sana bersama Nick sekiranya ada masa terluang. Laut Stulang terletak tidak jauh dari Pusat Bandaraya dan Permas Jaya. Tidak sampai sepuluh minit untuk kesana jika melalui lebuhraya EDL.
Ewaa dan Nick sama-sama tinggal di Permas Jaya. Ianya memudahkan mereka kemana-mana kerana pembangunan di Johor Bahru semakin pesat dan maju. Nick yang terpaksa berulang alik ke Singapura tidak menjadi halangan lagi kerana jarak rumahnya ke Tambak Johor tidaklah sejauh mana.
"Tak buka lah ni. Eh kejap, cuba tengok seberang jalan tu, tu kan orang jual rojak." Ewaa menuding jari keseberang jalan, betul-betul di hadapan sekolah menengah tersebut. Nick cuba memastikan ianya betul.
"Orang Cina kan tu? Tak mahu lah." Nick menegur. Ewaa mencebik. Dia yang sememangnya kuat makan cepat-cepat ke van menjual 'burger'. Dia tersengih sambil meminta Nick membelikannya 'burger' manakala Nick pula menginginkan 'steamboat'.
"Bagi 'chicken double special' satu ya?" Ewaa terus meminta seorang budak lelaki yang membuat burger tersebut. Mukanya garang, tidak senyum malah keningnya menakutkan Ewaa. Ewaa mengikut Nick ke van menjual 'steamboat' sementara menunggu budak lelaki itu menyiapkan 'burger'nya.
"Satu batang seringgit." Ewaa membaca tulisan di papan yang dilekat. Nick mengambil satu pinggan dan menyuruh Ewaa memilih apa yang disukainya. Ewaa yang tidak gemar makanan laut tersebut hanya memilih satu stik sosej dan juga bebola ketam. Nick memilih beberapa stik lain seperti bebola ketam, sayur kangkung, sotong basah, tauhu ikan dan sebagainya. Ewaa menelan air liurnya. Dulu pernah ayah saudaranya mengajaknya memakan 'steamboat' di Danga Bay, namun dia dapati lidahnya tidak mahu menerima rasa 'steamboat' itu.
Setelah mereka selesai membeli makanan dan minuman, Nick mengajaknya ke tebing. Disitu terdapat banyak tembok tembok yang tengahnya ada sebuah pohon seolah-olah pohon kelapa di sepanjang laut itu. Ewaa memanjat satu tembok diikuti Nick. Angin sangat kuat sehinggakan beberapa kali Ewaa cuba merapikan rerambutnya yang berterbangan. Diseberang laut yang tidak sampai 500meter dihadapannya terdapat Menara Power berwarna merah dan putih. Disitulah tempat Nick bekerja iaitu Senuko Industrial.
"Nak rasa?" Nick mempelawa Ewaa. Ewaa mengambil stik yang dipilihnya tadi, tetapi diletaknya kembali ke dalam polestrine kerana tidak gemar dengan makanan laut rebus sebegitu.
"Tak sedap lah. Tak nak tak nak. Makanlah." Ewaa menolak. Cepat-cepat dia membuka bungkusan burger itu. Perutnya yang lapar memaksanya untuk makan dengan cepat. Mereka makan cepat-cepat. Masing-masing berlaga mengisi perut.
Sedang asyik mereka menikmati makanan petang itu, mereka terdengar bunyi siren polis. Datangnya dari pusat bandaraya. Mereka yang duduk betul-betul di tembok tepi jalan dapat menyaksikan beberapa kenderaan mengiring Sultan Johor iaitu Sultan Ismail.
"Wah, Tengku Mahkota Johor lah!" Ewaa menunjukkan reaksi kagum. Dia sebenar-benarnya sudah lama ingin bersua muka, berjabat tangan dengan Tengku Mahkota Johor.
"Itu Sultan Ismail lah. Bukan Tengku." Nick menegur. Raut wajah Sultan Ismail dan anaknya Tengku Mahkota Johor sangat mirip. Apalagi Sultan Ismail memandu sebuah kereta berwarna oren dengan laju, dia hanya sempat melihat wajah Sultan dari tepi.
"Nak balik ke istana, mungkin...." Ewaa meneka. Istana Sultan tidak berapa jauh dari situ. Acapkali Sultan mahupun anaknya sendiri lalu lalang dikawasan itu kerana dekat dengan kawasan istana. Rumah Istana Sultan terletak di tepi lebuhraya. Kawasannya luas dan cantik. Terdapat zoo persendirian serta padang kuda yang dimiliki Sultan. Ewaa kagum. Ini kali pertamanya dia melihat Sultan Ismail didepan matanya sendiri.
"Nak jumpa Tengku Mahkota Johor, nak salam dia. Nak beritahu dia boleh tak rasa jadi anak Sultan juga." Ewaa merungut manja. Nick ketawa dengan kuat. Ewaa mencebik bibirnya. Teringin sekali dia merasakan semua itu.
"Nak salam Tengku Mahkota Johor kena berani tau. Aura dia menakutkan." Nick menjelas. Ewaa sememangnya tahu asal usul keturunan Sultan. Sewaktu berada di tingkatan empat, dia membaca prosa klasik bertajuk Hikayat Siak iaitu cerita mengenai asal usul kesultanan Johor. Dia juga mendengar beberapa cerita bahawa Sultan Johor itu berdaulat, mempunyai kuasa untuk menolak tambak Johor sehinggakan tambak Johor menjadi senget seperti sekarang.
"Dah lah, makan makan." Ewaa malas berfikir. Dia menghabiskan burgernya.
"Kuatnya angin. Habis rambut saya ni" Ewaa mencebik bibir. Agak rimas rambutnya termasuk kedalam mulut. Dia cepat cepat menyelak rambut dengan jari-jarinya. Dia mengubah posisi kedudukan dengan duduk berlawan arus angin. Begitu tenang suasana pada petang itu.
"Tak apalah, comel lah." Nick memujuk, agak kurang senang dengan rungutan manja kekasihnya itu. Ewaa menyinding, dia sudahpun selesai makan. Nick masih lagi terhegeh-hegeh menghabiskan beberapa stik 'steamboat'. Kuah 'steamboat' tersebut agak pedas. Jadinya Nick meminta air jagung yang terletak di sebelah kiri dimana Ewaa duduk.
"Nak air, pedasss." Nick meminta. Ewaa sengaja membiarkan Nick dalam kepedasan. Dia cepat-cepat membuka penutup botol air mineral lalu diberi pada Nick.
"Nak yang sejuk." Nick merungut lagi. Ewaa masih lagi gelak besar. Dicubit-cubitnya bibir Nick. Nick terpinga-pinga kepedasan. Dengan lembut Ewaa menghulurkan air jagung kepada Nick. Ewaa terus mengusap kepala Nick, sayangnya dia pada Nick tidak ternilai harganya.
"Ehh cuba tengok tu. Ada benda dekat tepi tu. Tengok jom." Ewaa mengajak. Dilihatnya sebuah anak patung kecil berwarna putih tersadai dalam jarak sepuluh meter dari tembok tempat mereka sedang duduk.
"Ish, tak mahulah. Entah apa benda saja tu." Nick cuba menegur. Tetapi Ewaa cuba untuk mendesaknya lagi. Ewaa yang memakai seluar slack hitam panjang berserta baju dress pink bersama kasut tinggi Irsoe kelihatannya risau dengan keadaan berpasir. Mahu saja dia membuka kasut dan berjalan berkaki ayam. Namun Nick masih tidak mahu.
"Ala, ingat saya ni budak kecil nak ditakutkan begitu? Jomlah." Ewaa memujuk. Ditariknya tangan lelaki kesayangannya itu supaya turun dari tembok. Nick menarik Ewaa kepangkuannya. Didakap Ewaa, manja. Ewaa cuba melupakan hasratnya. Awan bergerak menandakan langit bakal bertukar wajah. Akhirnya Nick cuba memenuhi hasrat Ewaa untuk menemankannya melihat patung kecil yang tersadai itu.
"Eh jangan dekat, tu patung.........." Nick menerjah. Ewaa terperanjat, dia terus takut. Dia hanya berdiri kaku memaut tangan Nick. Rupa-rupanya patung kecil tersebut adalah patung orang sembahyang. Ewaa terus tertawa kecil. Dia menampar-nampar lengan Nick, marah kerana menakut-nakutkannya.
"Banyak lah awak. Merepek je." Jelas Ewaa. Dia tahu, dalam wajah yang serius Nick tidak mampu menipu dirinya. Nick terus ketawa. Nick berjalan ke arah air laut. Air laut memukul pantai, sekaligus menghakis pasir-pasir laut serta hidupan laut yang sudah tersadai seperti kulit kupang, kerang, ketam dan juga sebagainya. Ewaa membuntuti Nick kemana sahaja, dia takut kasutnya kotor.
Ewaa menarik nafas panjang. Dihembusnya perlahan-lahan.Dia melihat ke arah tambak Johor yang agak sesak, dihadapannya pula terdapat Woodlands Waterfront, menara merah jalur putih dan juga beberapa tempat. Dia terpegun walaupun sudah berkali-kali melihatnya.
Sudah agak lama, Ewaa tidak pernah segembira ini. Dia lupa segalanya. Dia bersama Nick hari ini. Tiada apa lagi yang ingin dia ingatkan.
"Janganlah main-main. Mengada-ngada!" Ewaa menjerit. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah. Ewaa cepat-cepat memaut perut Nick. Dia tahu kelemahan Nick. Nick cepat geli apabila digeletek perutnya, pasti dia akan berhenti menyakat.Nick mendapatkannya. Terpaksa menghentikan Ewaa yang sudah mula menggeleteknya.
Mereka sangat gembira pada petang itu. Langit cerah menyaksikan kegembiraan mereka berdua. Di sudut hati Ewaa, ingin sahaja dia berada disitu sepanjang masa. Tidak selalu dia berjumpa dan meluangkan masa bersama-sama Nick.
"Jom pergi sana." Ewaa mengejar Nick. Dia mengikut selangkah demi selangkah.
"Tengok ni. Kerang belum terbuka kulitnya." Nick mengutip kerang hidup. Diberinya kepada Ewaa dan meminta Ewaa untuk membukanya. Sememangnya dia tahu Ewaa amat penggeli orangnya. Ewaa memegang kerang tersebut. Dia mula gusar dengan isi kerang tersebut, apakah ia hidup atau sudah mati.
"Ish taknaklah!" Ewaa memberi kerang itu kembali pada Nick. Nick tertawa, lucu dengan sikap Ewaa yang cepat geli dan takut. Ewaa berjalan di persisiran air, sesekali dia mengelak apabila air laut hendak memukul kasutnya.
"Tahu tak lubang apa kecil-kecil ni?" Nick menanya. Ewaa terdiam. Dia juga terfikir lubang apakah kecil-kecil yang terdapat di pasir-pasir laut ini.
"Dalam lubang ni ada anak-anak ketam." Nick menjelas lagi. Ewaa buat-buat tak tahu dan sememangnya dia tidak mahu mengambil tahu. Mereka berjalan lagi. Ewaa melihat ke arah jalan raya. Tidak sesak seperti tadi. Jam pula sudah menunjukkan pukul 7 malam.

bersambung...


0 comment[s] | back to top